Program “kNovasi” UKM 2020 – Platform Kerjasama Bersama Pihak Universiti Untuk Promosi Dan Kempen Kesedaran MERS 999

  • Post category:Aktiviti

Bertemakan “Pembelajaran Aktif Futuristik Melangkau 2020”, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekali lagi menganjurkan Kongres dan Pertandingan Inovasi Pengajaran (P&P) atau lebih dikenali sebagai kNovasi 2020 pada 5 dan 6 Februari 2020 bertempat di Hotel Tenera, Bangi, Selangor.

Program yang menjadi acara tahunan UKM sejak tahun 2009 ini telah berjaya mengumpul peserta yang terdiri daripada ahli akademik dari Institusi Pendidikan Tinggi seluruh Malaysia serta para guru sekolah dan pihak industri.

Pihak Telekom Malaysia Berhad (TM), Government Specialised Services (GSS) telah dijemput oleh pihak penganjur untuk menyertai program ini sebagai pempamer. Sebagai organisasi yang menjalankan projek MERS 999 di bawah KKMM, program ini telah membantu pihak MERS 999 GSS untuk mempromosikan talian kecemasan negara 999 kepada orang awam terutamanya para peserta yang hadir di program kNOVASI ini yang terdiri daripada golongan pendidik dan pelajar.

Perasmian program telah disempurnakan oleh Prof. Dato’ Ir. Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, Naib Canselor UKM. Selain daripada itu, beliau juga diiringi Prof. Ir. Dato’ Dr Mohd Marzuki Mustafa, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa (TNC HEAA) dan YBhg. Prof Datuk Ts. Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq, Presiden Universiti Multimedia (MMU) telah berbesar hati melawat tapak pameran MERS 999. Objektif utama pameran MERS 999 adalah untuk memberi kesedaran kepada orang awam tentang kepentingan talian kecemasan 999 dan menghebahkan kepada orang awam berkenaan aplikasi telefon pintar yang boleh digunakan ketika kecemasan iaitu aplikasi SaveME 999 POLIS, SaveME 999 DEAF dan SaveME 999 BLIND.

Dalam pada itu, aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh MERS 999 di program kNovasi ini ialah sesi interaktif dengan para pengunjung mengenai sistem MERS 999, aplikasi telefon pintar SaveME 999 POLIS, SaveME 999 DEAF dan SaveME 999 BLIND.

Di kesempatan ini, pengunjung yang hadir telah diberikan penerangan dan taklimat ringkas mengenai kepentingan perkhidmatan panggilan kecemasan untuk kegunaan masyarakat Malaysia.

 

Penyertaan MERS 999 di dalam program kInovasi 2020 merupakan satu kolaborasi bersama pihak universiti tempatan di dalam menjayakan kesedaran awam berkaitan kepentingan talian kecemasan negara dan secara tidak langsung mempromosikan penggunaan aplikasi untuk orang awam seperti SaveME 999 Polis  kepada warga universiti dan pelajar.