Hari Ulang Tahun Maritim Malaysia Ke 15 – Platform Kerjasama Bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Untuk Promosi Dan Kempen Kesedaran Mers 999

  • Post category:Aktiviti

Pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah mengadakan pameran untuk pasukan badan beruniform sempena Hari Ulang Tahum Maritim Malaysia ke 15 pada 7 dan 8 Mac 2020 bertempat di Kompleks Maritim Tun Abg Salahuddin (KOMTAS) di Jalan Bako, Muara Tebas, Kuching, Sarawak.

Pihak Telekom Malaysia Berhad, Government Specialised Services (GSS) telah dijemput oleh pihak penganjur untuk menyertai program ini sebagai pempamer. Sebagai organisasi yang menjalankan projek MERS 999 di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) program ini telah membantu pihak MERS 999 GSS untuk mempromosikan talian kecemasan negara 999 kepada orang awam.

Perasmian program telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dr. Haji Hazland Bin Abang Hipni, Ahli Dewan Undangan Negeri, Demak Laut. Beliau telah  diiringi oleh  Laksamana  Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan, Pengarah Maritim Negeri  Sarawak  melawat tapak pameran MERS 999. Objektif utama pameran MERS 999 adalah untuk memberi kesedaran kepada orang awam tentang kepentingan talian kecemasan 999 dan menghebahkan kepada orang awam berkenaan aplikasi telefon pintar yang boleh digunakan ketika kecemasan iaitu aplikasi SaveME 999 POLIS, SaveME 999 DEAF dan SaveME 999 BLIND.

Dalam pada itu, aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh MERS 999 di program ini ialah sesi interaktif dengan para pengunjung mengenai operasi pengendalian sistem MERS 999.

Di kesempatan ini, pengunjung yang hadir telah diberikan penerangan dan taklimat ringkas mengenai kepentingan perkhidmatan panggilan kecemasan untuk kegunaan masyarakat Malaysia.

Penyertaan MERS 999 di dalam pameran ini merupakan satu kolaborasi bersama agensi kecemasan secara berterusan di dalam menjayakan kempen kesedaran awam berkaitan kepentingan talian kecemasan negara dan secara tidak langsung mempromosikan penggunaan aplikasi untuk orang awam seperti SaveME 999 POLIS.