Persediaan Kecemasan
Banjir
Sebelum banjir, pastikan anda telah membuat persediaan:
- Ketahui pelan kecemasan komuniti di tempat anda, isyarat amaran, laluan menyelamatkan diri dan lokasi pusat pemindahan.
- Pasang injap atau palam penyumbat pada parit, tandas dan saluran air lain untuk menghalang kemasukan air banjir.
- Sediakan kit bekalan kecemasan dan dengar radio atau TV untuk sebarang maklumat.
- Jangan simpan barangan berharga di tingkat bawah rumah. Ia boleh rosak sewaktu kejadian banjir.
- Pastikan peti suis dan meter utiliti di rumah anda diletakkan di tempat tinggi atau melebihi paras banjir.
- Tutup semua suis utiliti jika terpaksa berpindah.
- Isi air bersih ke dalam takungan/ tab mandi, sinki dan botol plastik.
- Bawa masuk ke dalam rumah atau ikat dengan ketat barangan luar rumah seperti perabut taman dan tong sampah.
- Isikan kereta dengan minyak petrol penuh dan pastikan kit kecemasan kereta dalam keadaaan baik.
- Jika tiada kenderaan, hubungi saudara mara atau rakan untuk menumpang.
- Letakkan haiwan peliharaan dan belaan di tempat selamat. Pusat pemindahan tidak membenarkan haiwan atas sebab kesihatan.
- Laraskan suhu peti ais pada paling sejuk.
- Dapatkan insuran banjir.
Bila banjir berlaku:
- Keluar dari rumah dan berpindah segera jika diarahkan oleh pihak berkuasa.
- Bawa barangan yang sedikit bersama anda.
- Keluarkan palam/plag dari semua peralatan elektrik bagi mengelak kejutan elektrik apabila tenaga elektrik disambungkan semula nanti.
- Patuhi laluan menyelamatkan diri.
- Berpindah ke kawasan tinggi serta merta.
- Jangan memandu kenderaan melalui air banjir. Kereta akan mudah dibawa air deras.
Maklumat lanjut:
- Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia memberi maklumat terkini mengenai banjir dan paras air sungai mengikut negeri.
- Jabatan Pertahanan Awam memberi maklumat lebih lanjut mengenai persediaan banjir, pusat permindahan dan kawasan berisiko tinggi.
- Jabatan Meteorologi Malaysia menyediakan maklumat ramalan cuaca untuk bandar-bandar utama di samping amaran cuaca seperti angin kencang, ribut dan laut bergelora.
Selepas kejadian banjir:
Elakkan dari mendapat jangkitan penyakit. Basuh tangan anda dengan sabun dan air yang telah dijerang atau dibersihkan sebelum menyedia makanan atau makan, selepas mengguna tandas, selepas membersihkan makanan dan selepas memegang barangan yang telah dicemari oleh air banjir.
1. Pastikan makanan anda selamat untuk dimakan:
- Jangan makan makanan yang telah dicemari oleh air banjir.
- Guna makanan dalam tin yang tidak memerlukan bancuhan air untuk bayi (seperti susu yang perlu dibancuh dengan air terlebih dahulu).
- Buang makanan dalam peti sejuk yang telah terdedah kepada suhu bilik lebihi dari dua jam dan yang telah berbau, bertukar warna atau bentuk.
2. Pastikan air minuman bersih:
- Jangan guna air yang telah dicemari untuk membasuh pinggan, memberus gigi, membasuh dan menyediakan makanan, membasuh tangan, membuat ketul ais atau membancuh susu bayi. Anda boleh guna pencuci berasaskan alkohol bagi membasuh tangan.
- Jika anda guna air dari botol, pastikan ia dari sumber yang selamat. Jika anda tidak tahu sumber air, jerang air atau rawati air tersebut sebelum mengguna.
- Menjerang air selama satu minit boleh menghapuskan kebanyakan dari kuman.
3. Mengendalikan haiwan:
- Banyak haiwan liar terpaksa lari dari habitat mereka di samping haiwan peliharaan yang kehilangan rumah selepas banjir. Jagalah haiwan-haiwan ini dengan baik.
- Jangan cuba menakut-nakut atau menangkap haiwan-haiwan ini.
- Jika ada haiwan yang perlu dipindahkan, hubungi pejabat haiwan berhampiran kawasan anda.
- Jika anda dipatuk ular, dapatkan bantuan perubatan. Cuba pastikan jenis ular supaya penawar bisanya dapat diberi.
4. Mengendali tenaga elektrik dan utiliti
- Tutup saluran tenaga elektrik dan gas bagi mengelakkan kejutan elektrik, api dan letupan.
- Guna lampu suluh dan bukannya lilin, pelita atau obor. Jika anda terbau atau mengesyaki gas bocor, tutup gas, buka semua tingkap dan tinggalkan rumah segera.
- Beritahu balai bomba serta jangan buka lampu atau lakukan sesuatu yang boleh menyebabkan percikan api.
- Elakkan talian elektrik yang tumbang/terjatuh, terutamanya di dalam air. Semua peralatan elektrik mestilah dikeringkan terlebih dahulu sebelum digunakan. Minta juruelektrik bertauliah periksa peralatan ini jika ragu-ragu.
5. Membersih rumah:
- Dinding, lantai dan permukaan rumah mestilah dicuci dengan sabun dan air yang bercampur bahan peluntur dengan campuran 1 cawan peluntur kepada 20 liter air.
- Basuh kain dan langsir dalam air panas atau cuci-kering.
- Barangan yang tidak boleh dicuci seperti tilam dan sofa hendaklah dijemur pada matahari serta disembur dengan bahan penyahjangkit.
- Permaidani pula boleh di cuci-wap.
- Jika ada air kumbahan yang terperangkap di dalam rumah, pakai kasut getah dan sarung tangan kalis air sewaktu kerja membersih.
- Buang dan gantikan barangan rumah yang telah dicemari yang tidak lagi boleh dibersihkan seperti kertas dinding dan kain hamparan.
Ribut
Jika dilanda ribut petir, anda mesti:
1. Masuk ke dalam rumah!
Jika tidak boleh memasuki rumah atau bangunan berdekatan, duduk di dalam kereta anda dan tutup tingkap. Jika tidak berada di sisi kereta, cari tempat rendah untuk berlindung. Elakkan pokok, pagar, tiang atau objek-objek tinggi.
2. Elakkan air.
Jika berada dalam bot atau sedang berenang, segera ke darat dan cari tempat berlindung. Jangan mandi sewaktu ribut petir. Elak menggunakan paip air dan jauhi dari sinki. Tenaga elektrik yang berpunca dari kilat mengalir dengan pantas dalam air dan paip.
3. Tutup TV dan penyaman udara.
Elakkan mengguna TV dan penyaman udara sewaktu kecemasan. Kilat mudah menyambar talian elektrik.
4. Bersedia untuk menghadapi kemungkinan ribut petir.
Pastikan rumah anda kukuh dan cukup kuat dari dilanda ribut kuat atau banjir Maklumat lanjut: Jabatan Meteorologi Malaysia menyediakan amaran awal tentang kemungkinan berlakunya fenomena cuaca buruk dan keadaan laut bergelora di seluruh Malaysia.
Kebakaran
Apabila ada kebakaran di dalam rumah atau bangunan anda, keluar dengan segera. Disebabkan asap dari api sukar untuk dilihat, anda patut tahu cara terbaik untuk keluar.
Bagaimana anda tahu? Anda sepatutnya sudah ada pelan kecemasan sebelum berlakunya kebakaran.
Buat pelan kecemasan dan buat latihan berdasarkan pelan tersebut. Latihan kebakaran (fire drills) boleh membantu anda berlatih keluar dari bangunan. Juga pastikan anda berbincang mengenai beberapa pilihan lain sebagai jalan keluar.
Semasa kebakaran, anda patut lakukan seperti berikut:
- Guna alat pemadam api untuk memadam api kecil. Anda boleh gunakan air jika api bukan berpunca dari elektrik atau bahan kimia. Jangan cuba memadam api yang anda tidak boleh kawal.
- Jika api terlalu besar, tinggalkan bangunan segera. Anda mungkin tidak ada masa sebelum api merebak, jadi tidak perlu berhenti untuk menelefon 999. Setelah keluar dan selamat, anda boleh guna telefon mudah alih atau telefon jiran untuk membuat panggilan kecemasan.
- Jika pakaian anda terkena api, jangan lari. Ini akan membuatkan api lebih merebak. Anda patut berhenti, jatuhkan diri dan berguling. Tutup muka dengan tangan dan berguling beberapa kali sehingga api padam.
- Jika ada asap di dalam rumah, tunduk ke lantai sewaktu melangkah keluar. Amat berbahaya bernafas dan sukar melihat dalam asap. Asap akan naik ke atas, jadi lebih baik merangkak dan keluar dari bangunan.
Jika anda berada di dalam rumah yang tertutup semasa api kebakaran, ikut panduan berikut:
- Jangan buka pintu jika ia panas, ada asap keluar dari celahan pintu atau tombol pemegang pintu panas. Ini bermakna api sudah hampir dan sudah besar.
- Jika anda terperangkap di dalam bilik, guna pita pelekat, tuala basah atau kain untuk menutup mana-mana celahan di sekeliling pintu. Telefon 999 dan beritahu lokasi anda. Letak kain putih (seperti baju T putih) di luar tingkap untuk memberitahu pasukan penyelamat di mana anda berada.
- Jika tombol pintu sudah mula sejuk dan tiada asap keluar dari bilik, buka pintu perlahan-lahan dan berhati-hati. Keluar dengan segera.
- Jika api bermula di dapur disebabkan minyak, tuangkan serbuk penaik soda atau garam ke atasnya. Jika api di dalam kuali atau periuk, letakkan penutup dengan cepat.
Tanah Runtuh
Tanah runtuh boleh mengancam kesihatan dan keselamatan seperti berikut:
- Aliran air deras dan sisa serpihan boleh mengakibatkan pelbagai trauma.
- Saluran elektrik, air, gas dan pembetungan yang pecah boleh mengakibatkan kecederaan atau jangkitan penyakit.
- Jalan raya dan laluan keretapi yang musnah boleh membahayakan pemandu kenderaan dan merosakkan sistem pengangkutan.
Kawasan Berisiko Tinggi.
- Kawasan yang telah diubahsuai lalu merosakkan struktur tanah.
- Kawasan pernah berlaku tanah runtuh sebelumnya.
- Lereng curam dan kawasan di bawah lereng.
- Lereng yang telah diubahsuai untuk pembinaan bangunan atau jalan raya.
- Aluran sungai.
Sebelum hujan lebat dan ribut:
- Ketahui sama ada tanah runtuh pernah terjadi dengan menghubungi pihak berkuasa tempatan kawasan anda.
- Hubungi pihak berkuasa tempatan anda dan dapatkan maklumat mengenai pelan kecemasan dan mengosongkan rumah.
- Buat pelan kecemasan dan pengosongan rumah untuk keluarga dan perniagaan anda.
- Rancang pelan komunikasi sewaktu kecemasan kalau-kalau ahli keluarga terpisah.
- Jika anda tinggal di dalam kawasan tanah runtuh, pertimbangkan untuk berpindah ke kawasan lain.
Sewaktu hujan lebat dan ribut:
- Dengar radio atau tonton TV untuk sebarang amaran tentang hujan lebat atau maklumat dan arahan daripada pegawai penguatkuasa.
- Awasi paras air yang mendadak tinggi atau rendah di sungai atau anak sungai yang boleh menunjukkan aliran sisa serpihan dari kawasan hulu sungai.
- Perhatikan jikalau ada pokok, tiang telefon, pagar atau dinding yang senget atau condong, lubang-lubang baru dan kawasan terdedah pada lereng bukit.
- Dengar bunyi deram-derum yang mungkin menandakan tanah runtuh yang semakin hampir.
- Berhati-hati sewaktu memandu. Jalan raya mungkin disekat atau ditutup akibat runtuhan di permukaan jalan berturap atau sisa serpihan.
- Jika bahaya tanah runtuh atau aliran sisa serpihan sangat besar, cepat keluar dari laluan runtuhan tersebut. Berpindah ke tempat lebih tinggi adalah perlindungan terbaik. Jika dihampiri aliran batu dan sisa serpihan, lari untuk berlindung (seperti di bawah meja atau perabut yang kukuh).
Selepas tanah runtuh atau aliran sisa serpihan
- Jauhi dari kawasan tersebut. Banjir atau runtuhan susulan boleh terjadi selepas tanah runtuh.
- Periksa sesiapa yang tercedera atau terperangkap berhampiran kawasan tersebut. Jika boleh, beri bantuan tanpa memasuki laluan tanah runtuh.
- Dengar radio atau TV untuk sebarang maklumat kecemasan.
- Laporkan sebarang kerosakan saluran utiliti kepada pihak berkuasa.
Wabak Penyakit
Apabila wabak penyakit merebak, kebanyakan kita akan menjadi takut dan keliru. Cara terbaik untuk menghadapi wabak penyakit adalah dengan mendapatkan lebih banyak maklumat tentang wabak tersebut dan dengar arahan pegawai pihak berkuasa di tempat anda.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkembangan wabak dan arahan seterusnya, anda boleh dapatkan maklumat dari berita di TV, akhbar, radio dan Internet. Cuba pastikan sama ada ubat atau vaksin diedarkan dan di mana boleh anda perolehinya.
Dapatkan maklumat terkini mengenai wabak penyakit di Bahagian Kawalan Wabak Penyakit.
Langkah-langkah pencegahan am
Langkah pencegahan meliputi amalan hidup yang sihat yang akan menjauhkan wabak penyakit dari merebak.
1. Selalu membasuh tangan dengan sabun
- Selepas menggunakan tandas atau menukar lampin
- Sebelum dan selepas makan
- Selepas menghembus hidung, batuk atau bersin
- Sebelum dan selepas menyediakan makanan (terutamanya daging mentah)
- Sebelum dan selepas menjaga orang
- Selepas menyentuh tangan seseorang atau haiwan
- Selepas membuang sampah
2. Tutup mulut sewaktu batuk
- Tutup mulut dan hidung anda dengan tisu atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Buang tisu ke dalam tong sampah. Jika anda tidak mempunyai tisu, batuk atau bersin ke bahagian bahu dan ketiak anda. Basuh tangan dengan sabun atau pencuci tangan.
3. Vaksin
- Pastikan anda dan anak-anak anda telah mendapat suntikan vaksin yang sepatutnya. Ini termasuklah vaksin Hepatitis A and B dan imunisasi bayi dan kanak-kanak.
4. Penyediaan Makanan
- Sediakan makanan dengan cara yang bersih dan masak dan simpan pada kepanasan yang ditetapkan. Jangan makan makanan yang telah dibiar atau ditinggalkan untuk jangka waktu yang lama.
5. Cara Hidup Sihat
- Cuba amalkan diet pemakanan yang seimbang dengan buah-buahan dan sayuran, minum air yang banyak dan tidur dengan cukup serta selalu bersenam. Amalan hidup sihat akan meninggikan sistem imunisasi anda dan mencegah penyakit.
Radiasi
Terdapat beberapa kaedah untuk meminimakan pendedahan kepada radiasi. Jika terdapat tahap radiasi yang berbahaya berhampiran anda, ikut panduan berikut:
- Jangan keluar rumah sehingga diberitahu keadaan telah selamat. Radiasi akan berkurangan selepas beberapa jam.
- Masuk ke dalam rumah atau bangunan jika anda berada di luar.
- Tutup semua tingkap dan pintu; begitu juga dengan kipas dan penyaman udara.
- Buka baju anda. Letakkan dalam beg plastik dan jauhkan ia daripada anda.
- Basuh semua bahagian tubuh badan yang terdedah dengan sabun dan air suam.
- Kosongkan rumah jika diberi arahan tersebut.
- Jika anda berada dekat dengan punca radiasi dan tidak mempunyai masa untuk keluar kosongkan rumah, letakkan bahan tebal di antara anda dan punca radiasi.
- Tutup hidung dan mulut anda bagi mengelakkan terhidu udara berbahaya.
- Hubungi 999 jika anda rasa anda telah terdedah kepada radiasi. Pihak berkuasa dan hospital akan memberitahu jika anda telah dicemari dan bantuan perubatan boleh diberi seterusnya.
Letupan
Jika bangunan yang anda diami runtuh atau terdapat letupan, berikut adalah tindakan yang boleh anda ambil:
- Tinggalkan tempat tersebut serta merta.
- Bertenang.
- Jangan guna lif. Tenaga elektrik mungkin akan terputus dan anda akan terperangkap.
- Bawa sekali kit kecemasan jika anda ada masa.
- Jika anda tidak boleh keluar dari bangunan, berlindung di bawah apa-apa perabut seperti meja.
6. Jika anda terperangkap oleh timbunan sisa serpihan, berikut adalah panduan untuk selamatkan diri:
- Jangan cuba bergerak terlalu banyak dan kerap. Anda mungkin akan tertendang habuk dengan banyak dan ini akan menyukarkan anda untuk bernafas.
- Tutup mulut dan hidung anda dengan kain untuk mengelak daripada menyedut habuk dan asap berbahaya.
- Untuk memberitahu penyelamat tentang lokasi anda, ketuk paip atau dinding. Elakkan daripada menjerit kerana ini akan menyebabkan anda tersedut habuk berbahaya.
- Jika anda mempunyai lampu suluh, gunakan ia untuk melihat dan memberitahu penyelamat di mana anda berada.
Kemalangan Bahan Kimia
Bagi mengelakkan kemalangan bahan kimia, ambil langkah-langkah berikut:
- Buat senarai kemungkinan bahaya kemalangan kimia di rumah anda.
- Pastikan setiap satu bahan kimia ini jauh daripada kanak-kanak.
- Pastikan semua bekas tidak bocor dan ditutup rapat. Sesetengah bahan kimia boleh mengeluarkan asap berbahaya ke udara.
- Jangan letak bahan kimia yang tidak serasi bersebelahan antara satu sama lain. Mereka boleh tercampur lalu menjadi asap atau api.
- Apabila diarah untuk mengosongkan bangunan sewaktu kecemasan bahan kimia, tinggalkan rumah anda serta merta. Jika ada masa, tutup semua pintu dan tingkap. Juga tutup kipas angin, penyaman udara, air, gas dan elektrik.
- Jika memandu ke suatu destinasi, pandu ikut jalan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa.
7. Jika diarah tinggal di dalam rumah:
- Kunci semua pintu dan tingkap. guna pita pelekat untuk menutup lubang seperti di bawah pintu.
- Tutup kipas angin dan penyaman udara.
- Pindah ke bilik di tengah-tengah rumah anda dan di tingkat lebih tinggi. Kadang kala, kesan kimia dan biologi boleh masuk ke dalam rumah tetapi akan jatuh dan tetap di paras bawah.
- Jika kesan berbahaya bahan kimia masuk ke dalam rumah, tutup hidung dan mulut anda dengan kain lembab.
- Jangan keluar sehingga diarahkan oleh pihak berkuasa.
Gempa Bumi
Tiada sebarang amaran bila gempa bumi akan berlaku. Bagi memastikan anda telah bersedia, anda seharusnya:
- Letakkan objek-objek berat di bahagian bawah perabut supaya tidak mudah jatuh apabila berlaku gempa bumi.
- Jika anda tinggal di kawasan yang terdedah kepada bahaya gempa bumi, pastikan rumah anda mempunyai asas yang kukuh.
Sewaktu kejadian gempa bumi:
- Jangan keluar dari rumah. Jika anda berada di luar, jauhi daripada bangunan tinggi dan wayar elektrik.
- Ambil perlindungan di bawah meja, meja tulis atau kerusi yang teguh atau tempatkan diri anda di ambang pintu atau satu sudut.
- Jauhi dari tingkap, perabut berat, cermin dan benda yang boleh jatuh dan cederakan anda.
- Jika anda memandu sewaktu gempa bumi, berhentikan kereta jika ia selamat. Duduk di dalam kereta sehingga gempa bumi berhenti serta jangan memandu berhampiran jambatan atau terowong. Jangan berhenti di bawah wayar elektrik, tiang lampu, papan tanda atau pokok.
- Awasi objek-objek yang jatuh. Kebanyakan orang cedera disebabkan objek yang terjatuh sewaktu gempa bumi.
- Jangan guna mancis, pemetik api atau lilin. Jika terdapat gas yang bocor, anda boleh menyebabkan kebakaran atau letupan.
- Jangan guna lif. Kemungkinan tenaga elektrik akan terputus disebabkan gempa bumi dan anda akan terperangkap di dalam lif.
8. Selepas gempa bumi, berikut adalah apa yang anda patut lakukan:
- Periksa diri anda dan orang lain jikalau ada kecederaan. Jika talian telefon tidak berfungsi, guna telefon mudah alih untuk hubungi 999 jika bantuan kecemasan diperlukan.
- Periksa jika talian elektrik dan saluran air rosak. Tutup suis utama dan paip jika rosak.
- Jauhi dari bangunan dan kawasan yang rosak. Anda mungkin tercedera oleh kaca pecah dan sisa serpihan.
- Dengar maklumat terkini di radio.
Maklumat lanjut:
Jabatan Meteorologi Malaysia menyediakan amaran awal tentang kemungkinan berlakunya fenomena cuaca buruk dan keadaan laut bergelora di samping menyediakan maklumat segera berkenaan gempa bumi di sekitar Malaysia
Tsunami
Tsunami selalunya terhasil oleh pergerakan gempa bumi di dasar laut. Tanah runtuh dan letusan gunung berapi juga boleh menyebabkan tsunami. Jika gegaran gempa bumi terlalu besar, tsunami boleh sampai ke pantai dalam masa beberapa minit sahaja, tanpa sempat amaran diberikan. Kawasan yang berisiko tinggi adalah 25 kaki dari aras laut dan dalam jarak satu batu dari tepi pantai. Kebanyakan kematian disebabkan lemas. Kesan bencana lain termasuklah banjir, pencemaran air minuman, api dari saluran gas atau tangki pecah dan kerosakan infrastruktur.
Gempa bumi kuat selama 20 saat atau lebih yang berdekatan tepi pantai boleh mengakibatkan tsunami. Pasang surut air laut yang kerap juga satu petanda tsunami.
Sebelum dan semasa tsunami:
- Ikut arahan pihak berkuasa. Arahan perpindahan mungkin berbeza daripada apa yang biasa anda tahu.
- Dengar radio atau sumber lain untuk maklumat terkini tentang kemungkinan tsunami jika berlaku gempa bumi dan anda berada di kawasan pantai.
- Pindah ke kawasan lebih tinggi.
- Jangan pergi ke tepi pantai untuk melihat tsunami. Jika anda boleh melihat ombak anda sudah berada terlalu dekat untuk menyelamatkan diri.
- Pulang ke rumah hanya setelah dibenarkan oleh pihak berkuasa. Tsunami adalah siri-siri ombak yang boleh berterusan selama beberapa jam.
- AWAS – Jika anda ternampak air surut yang ketara dari tepi pantai, ini adalah petunjuk semula jadi tsunami dan anda patut ambil berat. Anda mesti berpindah dari situ dengan segera.
.
Selepas tsunami:
- Jauhi dari kawasan banjir dan dilanda kemusnahan sehingga diberitahu oleh pihak berkuasa ia selamat untuk pulang.
- Jauhi dari sisa serpihan di dalam air.
- Jauhi dari bangunan jika ia masih dikelilingi air. Air tsunami, seperti air banjir, boleh merosakkan asas bangunan, menyebabkan bangunan tersebut tenggelam, lantai merekah atau dinding runtuh.
- Berhati-hati dengan kemungkinan bahaya api; mungkin terdapat saluran gas yang bocor atau pecah, litar elektrik atau peralatan elektrik yang tenggelam. Bahan-bahan mudah terbakar dan mudah meletup boleh diturunkan dari kawasan lebih tinggi.
- Periksa kalau ada kebocoran gas. Jika anda terbau atau terdengar bunyi gas bocor, buka tingkap dan segera tinggalkan bangunan.
- Periksa kerosakan pada sistem elektrik. Jika terlihat percikan api atau terbau benda terbakar, tutup tenaga elektrik di suis utama. Hubungi jurulektrik terlebih dahulu untuk mendapatkan nasihat jika anda ingin masuk ke dalam air ke suis utama elektrik. Peralatan elektrik mesti diperiksa dan dikeringkan terlebih dahulu sebelum digunakan.
- Periksa saluran pembetungan dan air. Jika ia rosak, jangan guna tandas dan hubungi tukang paip. Jika paip air rosak, hubungi syarikat bekalan air dan elakkan minum air dari paip.
- Berhati-hati dengan haiwan, terutamanya ular berbisa yang mungkin memasuki bangunan melalui air. Guna kayu untuk berjalan melalui sisa serpihan.
- Periksa bekalan makanan. Makanan yang terkena air banjir boleh tercemar dan mesti dibuang.
Maklumat lanjut:
Jabatan Meteorologi Malaysia menyediakan amaran awal tentang kemungkinan berlakunya fenomena cuaca buruk dan keadaan laut bergelora di samping menyediakan maklumat segera berkenaan gempa bumi di sekitar Malaysia