Apa itu MERS 999?

Malaysian Emergency Response Services 999 (MERS 999) ialah satu inisiatif kerajaan Malaysia untuk menyatukan nombor-nombor kecemasan Malaysia menjadi satu nombor pusat untuk capaian mudah, iaitu 999.

Di bawah arahan dan hala tuju kerajaan, badan-badan kecemasan akan menjalankan tugas teras masing-masing sebagai badan penguatkuasaan keselamatan (Polis), badan pencegahan kebakaran dan penyelamat (Bomba), perkhidmatan perubatan (Hospital), perkhidmatan kemanusiaan (Pertahanan Awam) dan kecemasan di laut (Maritim Malaysia).

Apakah Sebenarnya Sistem 999?

Sistem ini berjalan di bawah satu platform bersama untuk menyediakan proses mengendali panggilan kecemasan secara selaras dan seragam. Ia menyediakan butir-butir terperinci pemanggil untuk penyedia perkhidmatan kecemasan, iaitu pihak Polis, Bomba, Hospital, Pertahanan Awam dan Maritim Malaysia.

Sistem ini dilengkapi komponen-komponen seperti Penghantaran Terbantu Komputer (Computed-aided Dispatch – CAD), Sistem Maklumat Geografi (Geographical Information System – GIS), Pengantara Telefon – Komputer (Computer-telephone Interface – CTI), Perakam Suara serta Sistem Pakar Perubatan.

Integrasi Sistem 999 Dengan Kamera Litar Tertutup (CCTV) Di Cyberjaya Dan Putrajaya Untuk Bandar Yang Lebih Selamat (MSAFE)

Berlandaskan aspirasi kerajaan ke arah konsep ‘Bandar Selamat Malaysia’, Cyberjaya dan Putrajaya telah dipilih untuk menjadi perintis untuk pelaksanaan konsep tersebut. Penyepaduan sistem CCTV dan sistem 999 (MSAFE) telah berjaya dilaksanakan di Cyberjaya (Jun 2009) dan di Putrajaya (2010).

Kelebihannya bukan sahaja pada pengenal pastian butir-butir pemanggil, tetapi ia juga membolehkan polis untuk melihat tempat berlakunya kejadian dalam masa sebenar dengan aplikasi yang menunjukkan jarak, tinggi, poligon serta ukuran senibina kawasan sekeliling. Ini membolehkan perkhidmatan kecemasan dihantar ke tempat kejadian hampir serta merta. Sistem MSAFE ini adalah asas untuk meningkatkan keselamatan awam di Malaysia.