Majlis Anugerah Cemerlang MERS 999 2013

  • Post category:Aktiviti

Tarikh : 21 Mac 2014
Tempat : Hotel PJ Hilton, Kuala Lumpur

Telekom Malaysia Berhad melalui Bahagian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 telah menganjurkan satu Majlis Anugerah Cemerlang MERS 999 bagi tahun 2013. Majlis ini adalah merupakan majlis untuk memberi penghargaan di atas segala kerja keras para petugas dan bagi mengiktiraf mereka yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam perkhidmatan sambil memberi peluang untuk mereka bersantai bersama-sama.

Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran Tetamu Kehormat, YB Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Komunikasi dan Multimedia. Dato’ Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Che Azemi Haron, Ketua Setiausaha II, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi, Pengerusi SKMM, Dato’ Sri Dr. Halim Shafie, Pengerusi TM dan Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM yang turut hadir di majlis tersebut.

Terdapat (3) kategori anugerah telah disampaikan pada majlis itu, iaitu:
a. Anugerah bagi anggota MERS 999 Response Centre
1.    Anugerah Professional Emergency Officer (PEO) Terbaik
2.    Anugerah Penyelia 999RC Terbaik
3.    Anugerah Pengendali Protokol Bomba Terbaik

b. Anugerah bagi Agensi-agensi Kecemasan MERS 999
1.    Anugerah Professional Emergency Dispatcher (PED) Terbaik
2.    Anugerah Penyelia Terbaik
3.    Anugerah Kumpulan Terbaik
4.    Anugerah Master of Trainer (MOT) Terbaik

c. Anugerah Penghargaan Khas
Anugerah Penghargaan Khas ini adalah untuk memberi pengiktirafan istimewa kepada dua (2) orang awam yang telah mempamerkan tindakan yang harus diteladani apabila berhadapan dengan dua (2) situasi kecemasan yang berasingan dan mengambil inisiatif untuk menghubungi Pusat Panggilan Kecemasan MERS 999. Penerima Anugerah Khas yang pertama, Mohd Nor Abdullah telah menyaksikan sebuah kemalangan jalan raya yang melibatkan dua (2) buah bas, sebuah kereta dan sebuah lori treler di Lebuhraya KL – Karak. Mohd Nor, yang memandu di lorong yang bertentangan, telah mengambil inisiatif untuk menghubungi MERS 999 bagi melaporkan kemalangan tersebut. Penerima Anugerah Khas yang kedua, Ahmad Abdullah, telah menyaksikan satu kejadian di mana sebuah bas merempuh deretan rumah-rumah kedai di Jalan Pudu Lama, Kuala Lumpur dan segera menghubungi MERS 999 untuk bantuan kecemasan. Ahmad turut membantu pemandu bas dan 20 orang penumpang bas tersebut, termasuk enam (6) orang penumpang yang cedera. Kedua-dua penerima anugerah tersebut telah menunjukkan keupayaan mereka untuk memberi maklumat yang tepat mengenai kejadian itu sambil kekal tenang dan ini telah membantu agensi-agensi kecemasan untuk menghantar bantuan ke lokasi kejadian dengan pantas.

Cenderahati penghargaan khas juga telah turut disampaikan kepada Persatuan Orang Pekak Malaysia atas sumbangan mereka menjayakan pembangunan SaveME 999, satu aplikasi telefon pintar baru bagi perkhidmatan kecemasan yang memberi manfaat kepada Orang Kurang Upaya (OKU), khususnya individu-individu yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan.