Majlis Penghargaan Master Of Trainers (MOT) Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 Di Menara Kuala Lumpur

  • Post category:Aktiviti

Tarikh : 21 Februari 2014
Tempat : Menara Kuala Lumpur

Seramai 82 orang Master of Trainers MERS 999 telah diraikan dalam Majlis Penghargaan Masters Of Trainers (MOT) pada 21 Februari 2014 bertempat di Menara Kuala Lumpur. MOT yang diraikan adalah terdiri daripada tenaga pengajar Agensi Kecemasan iaitu Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan juga Pusat Panggilan Kecemasan MERS 999 iaitu 999 Response Center (999 RC) .

Majlis ini adalah bertujuan memberikan penghargaan di atas jasa dan komitmen MOT dalam melatih dan mendidik para anggota baru yang dikenali sebagai Professional Emergency Dispatcher (PED) untuk mengendalikan sistem kecemasan MERS 999 dengan efisyen.

Sesuai dengan pendekatan “train-the-trainers” yang digunakan oleh Kerajaan, MOT yang dilantik dari kalangan agensi kecemasan telah memainkan peranan yang besar dalam pelaksanaan Program Pembangunan Modal Insan Projek MERS 999. Peranan yang dimainkan oleh MOT ini tidak hanya terhad kepada pengajaran modul-modul latihan di dalam kelas latihan sahaja, bahkan MOT terlibat dengan aktif di luar kelas dalam beberapa aktiviti seperti Ujian Penerimaan Pengguna (User Acceptance Test – UAT), terjemahan modul Sistem MERS 999 ke Bahasa Malaysia dan menjadi pakar rujuk dalam bengkel keperluan pengguna dan pembangunan aplikasi baru.

Majlis Penghargaan MOT ini telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), YBhg Dato’ Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi. Turut hadir adalah Timbalan Ketua Setiausaha II KKMM, YBhg Datuk Che Azemi Haron, Setiausaha Bahagian Kemudahan (Komunikasi), YBrs. Encik Mazmalek Bin Mohamad, Naib Presiden Eksekutif TM Sektor Kerajaan, YBhg. Dato’ Kairul Annuar Mohamed Zamzam, Naib Presiden Projek Strategik Sektor TM Kerajaan, YBhg. Datuk Zaini Diman, Pengarah Projek MERS 999, Puan Ir. Rozinah Anas dan Pegawai-Pegawai Kanan Agensi Kecemasan.

Sebagai memeriahkan lagi acara, satu ceramah motivasi khas telah disampaikan oleh Pegawai Penyelaras SUKSIS Universiti Malaya, ASP Foo Chek Seng dengan tajuk ‘Memperkasa Agensi Kecemasan di Malaysia’. Penceramah berjaya menyuntik semangat dan iltizam kepada kesemua Agensi Kecemasan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kepentingan orang awam dan juga keselamatan awam.

Diharapkan kesemua MOT akan terus memberikan komitmen yang terbaik dalam pelaksanaan Program Pembangunan Modal Insan MERS 999 demi kesejahteraan rakyat Malaysia.