Penyertaan MERS 999, Government Specialised Services Di Program Kembara Digital Malaysia (KDM) Peringkat Negeri Perak Tahun 2019

  • Post category:Aktiviti

Pada 27-28 Julai 2019 yang lepas, pihak Telekom Malaysia (TM) MERS 999, Government Specialised Services (GSS) telah menyertai Program Kembara Digital Malaysia. Program ini adalah anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan majlis perasmiannya telah disempurnakan Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Negeri Perak, YB Tuan Hasnul Zulkarnain Bin Abdul Munaim dan diiringi oleh Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YB Tuan Gobind Singh Deo dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YBhg. Dato’ Suriani Dato’ Ahmad.

Program Kembara Digital Malaysia (KDM) ini adalah sebagai salah satu inisiatif mempromosikan infrastruktur digital dan jalur lebar. Tujuan utama program ini adalah untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai perkhidmatan akses jalur lebar berkelajuan tinggi, mempromosikan manfaat yang boleh diperolehi menerusi penggunaan teknologi digital serta memberi kesedaran mengenai keselamatan penggunaan media social. Selain itu juga, program ini dapat mengeratkan kerjasama di antara agensi Kementerian yang berkaitan dengan ICT, industri dan komuniti setempat serta merapatkan jurang penyaluran maklumat di antara Kerajaan dengan komuniti setempat.

Program KDM yang berlangsung selama 2 hari ini disertai sebanyak 29 pempamer yang terdiri daripada Agensi-agensi Kerajaan, penyedia perkhidmatan jalur lebar, perkakasan dan perisian ICT. Aktiviti – aktiviti yang menarik telah disediakan oleh para pempamer dan pihak penganjur antaranya taklimat mengenai ‘Digital untuk Kerjaya’ bersama produksi video Pendek, Sterk Production, Keibubapaan Siber bersama Cybersecurity Malaysia, permainan Virtual Reality (VR) dan pertandingan secara atas talian, pertandingan melukis dan mewarna untuk kanak-kanak.

Sebagai organisasi yang menjalankan projek MERS 999 di bawah KKMM, TM MERS 999 berpeluang mempromosikan berkenaan sistem MERS 999 dan aplikasi SaveME 999 POLIS, SaveME 999 DEAF dan SaveME 999 BLIND kepada orang awam. Objektif pameran ini adalah untuk memberi kesedaran kepada orang awam tentang kepentingan talian kecemasan 999 dan mewar-warkan kepada orang awam berkenaan aplikasi telefon pintar yang boleh digunakan ketika di dalam kecemasan.

Di program KDM ini, pihak MERS 999 telah berpeluang untuk menyampaikan taklimat di pentas utama buat julung-julung kalinya. Tajuk taklimat adalah “Penggunaan Talian Kecemasan 999” yang telah disampaikan oleh wakil 999 Response Center, MERS 999, Cik Isma Nazifah Binti Md Shah. Di dalam taklimat itu, beliau telah berkongsi pengalaman beliau sendiri yang mengendali panggilan kecemasan tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-Anak yatim Batu 14, Hulu Langat pada tahun 2011 yang sangat menyentuh perasaan sehingga kini.

Selain daripada itu, aktiviti yang telah dijalankan di booth TM MERS 999, adalah sesi interaktif dengan orang awam mengenai sistem MERS 999 dan aplikasi telefon pintar SaveME 999 POLIS, SaveME 999 DEAF dan SaveME 999 BLIND. Mereka telah didedahkan dengan fungsi talian kecemasan dan penggunaan yang berhemah untuk talian kecemasan, 999 serta aplikasi SaveME 999 untuk kegunaan di dalam kecemasan. Selain daripada itu, booth MERS 999 turut dimeriahkan dengan kerjasama daripada kakitangan bahagian Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun yang turun padang mengadakan sesi latihan amali Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) di booth TM MERS 999. Ramai pengunjung yang tidak melepaskan peluang untuk mempelajari cara betul untuk melakukan CPR.

Dengan adanya penglibatan TM MERS 999 khasnya dalam program seperti ini akan dapat membantu mewar-warkan mengenai nombor panggilan kecemasan di dalam negara serta berpeluang memberi penjelasan dan berkongsi pengalaman dalam mengendalikan panggilan 999 demi kesejahteraan masyarakat Malaysia khususnya dari segi menyelamatkan nyawa, harta benda dan alam sekitar.