Penyertaan MERS 999, Government Specialised Services Di Program Kembara Digital Malaysia , Negeri Sembilan Tahun 2019

  • Post category:Aktiviti

Pada 23 & 24 November 2019 yang lepas, pihak Telekom Malaysia (TM) telah menyertai Program Kembara Digital Malaysia bertempat di Stadium Mini, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Program ini adalah anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh YB Tuan Eddin Syazlee Bin Shith, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, selaku Ahli Parlimen Kuala Pilah. Beliau telah diiringi oleh YB Puan Nicole Tan Lee Koon, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, YBhg. Dato’ Suriani Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha, KKMM.

Bahagian MERS 999, Government Specialised Services (GSS) telah dijemput oleh pihak penganjur untuk menyertai program ini sebagai pempamer. Sebagai organisasi yang menjalankan projek MERS 999 di bawah KKMM, MERS 999 GSS berpeluang mempromosikan berkenaan sistem MERS 999, aplikasi SaveME 999 POLIS, SaveME 999 DEAF dan SaveME 999 BLIND kepada orang awam.

Objektif pameran MERS 999 adalah untuk memberi kesedaran kepada orang awam tentang kepentingan talian kecemasan 999 dan mewar-warkan kepada orang awam berkenaan aplikasi telefon pintar yang boleh digunakan ketika di dalam kecemasan.

Dalam program ini, MERS 999 telah berpeluang untuk mengadakan Sesi Bicara Bersama MERS 999 di pentas utama dengan tajuk “Penggunaan Talian Kecemasan 999” yang telah disampaikan oleh wakil 999 Response Center, MERS 999, Puan Rasidah Binti Ab Kadir.

Selain daripada itu, aktiviti yang telah dijalankan di booth MERS 999, adalah sesi interaktif dengan orang awam mengenai sistem MERS 999, aplikasi telefon pintar SaveME 999 POLIS, SaveME 999 DEAF dan SaveME 999 BLIND. Pengunjung yang hadir telah diberikan penerangan dan taklimat ringkas mengenai kepentingan perkhidmatan panggilan kecemasan untuk kegunaan masyarakat Malaysia.

Program Kembara Digital Malaysia (KDM) ini adalah sebagai salah satu inisiatif mempromosikan infrastruktur digital dan jalur lebar. Tujuan utama program ini adalah untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai perkhidmatan akses jalur lebar berkelajuan tinggi, mempromosikan manfaat yang boleh diperolehi menerusi penggunaan teknologi digital serta memberi kesedaran mengenai keselamatan penggunaan media sosial. Selain itu juga, program ini dapat mengeratkan kerjasama di antara agensi Kementerian yang berkaitan dengan ICT, industri dan komuniti setempat serta merapatkan jurang penyaluran maklumat di antara Kerajaan dengan komuniti setempat.

Dengan adanya penglibatan MERS 999 dalam program seperti ini akan dapat mempromosikan kepentingan perkhidmatan talian kecemasan negara dan memberikan kesedaran awam kepada masyarakat terhadap penggunaan talian kecemasan 999 bagi tujuan menyelamatkan nyawa, harta benda dan alam sekitar.