Penyertaan MERS 999, Government Specialised Services Di Sambutan Hari Inovasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah Tahun 2019.

  • Post category:Aktiviti

 

Pada 2hb Disember 2019 yang lepas, Telekom Malaysia telah mengadakan pameran bersempena Sambutan Hari Inovasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kompleks Kastam Diraja, Kelana Jaya. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah dan majlis perasmian telah disempurnakan oleh Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, YBhg. Dato’ Zulkurnain Bin Mohamed Yusuf.

Sambutan Hari Inovasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia ini adalah sebagai salah satu inisiatif memperkasakan budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan kakitangan Kastam. Selain itu, program ini bertujuan berkongsi pengalaman transformasi dan inovasi yang di jalankan oleh pihak pempamer sekaligus memberi pengetahuan baru kepada kakitangan Jabatan Kastam. Justeru, program ini dapat mengeratkan kerjasama antara kakitangan Jabatan Kastam dan pempamer yang terlibat di Sambutan Hari Inovasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah tersebut.

Program Hari Inovasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang berlangsung selama satu hari ini terdiri daripada organisasi dan agensi Kerajaan. Pelbagai aktiviti yang menarik disediakan antaranya permainan Virtual Reality (VR), pertandingan e-sports FIFA dan juga program menderma darah.

Dalam pada itu, bahagian MERS 999 Government Specialised Services (GSS) yang bertanggungjawab menjalankan projek MERS 999 di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), telah berpeluang mempromosikan sistem MERS 999, aplikasi SaveME 999 POLIS, SaveME 999 DEAF dan SaveME 999 BLIND kepada kakitangan Jabatan Kastam. Objektif pameran ini bertujuan mempromosikan khususnya mengenai aplikasi SaveME 999 POLIS kepada pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Kastam.

Manakala, aktiviti yang di jalankan di booth MERS 999 adalah sesi interaktif bersama kakitangan Kastam mengenai sistem MERS 999 dan aplikasi telefon pintar SaveME 999 POLIS, SaveME 999 DEAF dan SaveME 999 BLIND sekaligus memberi pendedahan kepada kakitangan kastam mengenai fungsi talian kecemasan dan penggunaan talian kecemasan secara berhemah.

Dengan adanya penglibatan MERS 999 dalam program seperti ini akan dapat mempromosikan kepentingan perkhidmatan talian kecemasan negara, berpeluang berkongsi pengalaman dalam mengendalikan panggilan 999 demi kesejahteraan masyarakat Malaysia khususnya dari segi menyelamatkan nyawa, harta benda dan alam sekitar.