Temuramah Pengarah Projek MERS 999 Bersama Akhbar Kosmo

  • Post category:Aktiviti

Tarikh : 20 Februari 2014
Tempat : Ibupejabat MERS 999

Bertempat di Ibu Pejabat MERS 999 di TM Annexe 2 pada 20 Januari 2014 yang lalu, telah berlangsung satu temuramah bersama akhbar KOSMO dengan Pengarah Projek MERS 999 iaitu Pn. Ir. Rozinah Anas.

Temuramah ini dilakukan untuk memberi mesej kepada semua bahawa Pihak TM dan Pihak Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia Komited untuk menyediakan perkhidmatan bantuan kecemasan yang dipertingkatkan demi kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. MERS 999 menerima maklum balas yang diterima secara terbuka dan akan sentiasa menerokai kaedah dan cara bagi terus meningkatkan kecekapan operasi MERS 999.

Temuramah ini adalah 100% berkisar berkenaan MERS 999. Puan Ir. Rozinah telah menyatakan seramai 130 Professional Emergency Officer (PEO) bertugas untuk menerima dan mengendalikan panggilan kecemasan ini dan diawasi oleh 16 Ketua Pasukan (Team Leader). Pusat panggilan MERS 999 beroperasi selama 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Kesemua PEO adalah bertanggungjawab untuk menjawab kesemua panggilan yang masuk ke Pusat Panggilan MERS 999. PEO terlatih di Pusat Panggilan MERS 999 perlu menjawab panggilan dalam masa 10 saat dan panggilan tersebut akan ditapis mengikut jenis dan lokasi insiden. Kemudian, maklumat akan dihantar kepada agensi-agensi bantuan kecemasan dalam masa 2 minit.

Kini, purata panggilan 999 yang dikendalikan oleh Pusat Panggilan Kecemasan MERS 999 adalah 90,000 panggilan sehari, iaitu peningkatan lebih 102% berbanding jumlah panggilan di awal operasi MERS 999 dalam tahun 2009 iaitu kurang dari 45,000 panggilan sehari. Dari jumlah tersebut, kira-kira 29.03% disalurkan kepada PDRM, manakala 16.33% disalurkan ke JBPM, sebanyak 43.55% disalurkan ke KKM serta 11.05% ke JPAM. Untuk APMM pula adalah lebih kurang 0.04% panggilan sebulan..

Tambahnya lagi, MERS 999 berusaha melaksanakan dan menyediakan sistem tambahan untuk peningkatan perkhidmatan kecemasan di Malaysia. Antara yang telah dibangunkan oleh MERS 999 adalah aplikasi terbaru yang dikenali sebagai SaveME 999. Aplikasi ini telah dibangunkan untuk membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan untuk menghubungi 999 jika berlaku sebarang kecemasan dengan hanya mengaktifkan aplikasi ini dengan menekan icon SaveME 999 pada telefon pintar mereka.

Selain itu, MERS 999 juga telah mewujudkan perkhidmatan Protokol Kebakaran atau dikenali sebagai ProQA Fire. Protokol ini merupakan bantuan di atas talian kepada pemanggil secara teliti (pre-arrival guidance) dan membantu pengendali panggilan kecemasan untuk mendapatkan maklumat penting dari pemanggil mengenai kes-kes kecemasan yang memerlukan Pasukan Penyelamat BOMBA.

Protokol Kebakaran ini dikendalikan oleh PEO yang bertauliah yang memenuhi syarat ketat yang telah ditentukan oleh pihak International Academy of Emergency Dispatch (IAED). Maklumat akan disalurkan kepada Bomba untuk bantuan yang sesuai dengan kes kecemasan. Terdapat 25 jenis protokol kebakaran.